Wednesday, April 26, 2017

01.Suicide Peluang Kedua






Hidup ini tidaklah selalunya indah.Namun,hidup juga tidaklah selalu pahit.Ianya seperti roda.Adakala kita berada di atas dan ada kalanya kita berada di bawah.Ada juga istilah memanggilnya karma atau di dalam islam ianya digelar kaffarah.Namun,maksudnya sama iaitu berbuat baik akan dibalas baik manakala buat jahat bakal dibalas dengan kejahatan.Tuhan itu Maha Adil.Percayalah…Semua yang berlaku ada hikmahnya.

Duniaku menjadi gelap.Serasa sesak nafas ini.Adakah malaikat maut bakal datang menjemputku sebentar lagi?Aku rela untuk dijemput.Jemputlah aku.Aku sudah bersedia untuk berjumpa dengan Tuhan.Tamatkanlah riwayatku ini.Aku rela…Aku melihat cahaya permukaan laut semakin pudar.Begitu juga dengan sakit di dalam paru paruku ini.Serasa kebas.Tiada lagi kesakitan seperti yang aku rasa sebentar tadi.Adakah semuanya ini telah Tertulis?

***

Aku membuka mataku perlahan.Pandanganku kabur.Adakah aku berada di alam barzakh?Adakah aku sudah meninggalkan dunia?Jikalau aku benar-benar telah meninggalkan dunia,di mana Tuhan?
Aku memandang sekeliling.Beberapa tika kemudian kelihatan seorang wanita berpakaian putih menerpaku.
“Cik.”
Aku memejamkan mata.Kepalaku serasa berat.Dunia bagaikan berputar.
“Cik…”
Aku mencelikkan mataku kembali.Pandangan yang kabur kian jelas.Di mana aku?Adakah di syurga?Tetapi,layakkah aku untuk berada di syurga?Setelah apa yang aku lakukan sebentar tadi?Aku rasakan tidak.
“Cik…”
Aku menoleh ke arah wanita tersebut.
“Di..ma..na saya?”Soalku gugup.
“Cik ada di Hospital Kuala Muda.Ada orang jumpa cik terdampar di tepi pantai minggu lepas”
Hospital?Aku mengerling ke arah jarum yang dicucuk di tangan kananku.Jadi…Adakah ini bermakna aku masih hidup?Aku mengeluh panjang.Mataku dipejam kembali.Adakah Tuhan masih belum puas mengujiku?Adakah kematianku tidak diterima oleh Tuhan?Apa lagi yang Kau inginkan dariku?Aku sudah letih.Letih dengan dunia.Tolonglah…Tolonglah terima aku…Aku menangis dengan teresak.Adakah permintaanku ini terlalu berat untuk diterima?

***

“Baiklah cik Azfar.Sudah tiga kali kita berjumpa.Adakah awak masih tidak ingin menceritakan kenapa awak boleh terdampar di tepi pantai tempoh hari?”Soal doktor yang bertag nama Sofia.
Aku hanya menggeleng.
Doktor Sofia memandangku dalam.Kemudian,bibirnya digaris nipis.”Awak nak dengar satu cerita?”Aku hanya membisu.Doktor Sofia mengeluh perlahan sebelum membetulkan duduk.
“Cerita ini mengenai Abu Hanifah.Suatu hari,sewaktu Abu Hanifah berjalan,beliau terdengar satu keluhan dan tangisan dari sebuah rumah di kawasan pedalaman.Keluhannya cukup keras.Abu Hanifah pun cuba dekatkan diri dan mendengar.Katanya,’Aduhai,alangkah malangnya nasibku ini.Agaknya tiada seorang pun yang lebih malang daripadaku.Nasibku sungguh celaka.Aku memang tidak beruntung.Sedari pagi belum ada lagi makanan aku suapkan.Adakah hati yang berbelas kasihan sudi memberi curahan air walaupun setitik?’
Abu Hanifah yang merasa kasihan kembali ke rumahnya lalu mengambil sebuah bungkusan.Bungkusan itu berisi wang untuk diberikan kepada orang itu.Setelah diberikan bungkusan tersebut,Abu Hanifah pun beredar.Tetapi,Abu Hanifah tidak hanya memberikan wang tetapi beliau juga memberi sepucuk surat iaitu berwarkah ‘Hai kawan,sunguh tidak wajar kamu mengeluh seperti itu.Sesungguhnya,kamu tidak perlu mengeluh atau meratapi tentang nasibmu.Ingatlah kepada kemurahan Allah dan cubalah memohon kepadaNya dengan bersungguh-sungguh.Jangan berputus asa dan teruskanlah usaha’.Tetapi,disebabkan kemewahan yang diterima,orang itu tidak endah akan surat yang disertakan Abu Hanifah.
Keesokan harinya,Abu Hanafiah melawat lagi rumah tersebut.Kedengaran orang itu mengeluh lagi.Katanya’Ya Allah,Tuhan yang Maha Belas Kasihan dan Pemurah,sudilah kiranya memberikan bungkusan lain seperti semalam,sekadar untuk menyenangkan hidupku yang melarat ini.Sungguh jika Engkau tidak beri,akan lebih sengsaralah hidupku’.Mendengar Keluhan tersebut,Abu Hanifah pun melemparkan lagi bungkusan yang berisi wang serta secarik kertas dari luar tingkap.Beliau kemudian meneruskan perjalanan.
Orang tersebut berasa seronok kerana menerima bungkusan berisi wang lagi.Tetapi setelah itu,dia membaca tulisan dalam kertas yang terselit bersama bungkusan wang itu. Hai kawan, bukan begitu cara bermohon. Bukan begitu cara berikhtiar dan berusaha. Perbuatan demikian 'malas' namanya, dan putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan Allah. Sungguh tidak redha Tuhan melihat orang pemalas dan putus asa, enggan bekerja untuk keselamatan dirinya. Jangan, jangan berbuat demikian. Raihlah kesenangan dengan bekerja dan berusaha. Kesenangan itu tidak mungkin datang sendiri tanpa dicari atau diusahakan. Orang hidup harus bekerja dan berusaha. Allah tidak akan memperkenankan permohonan orang yang malas bekerja. Allah tidak akan mengabulkan doa orang yang berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk kesenangan dirimu. Berikhtiarlah sedapat mungkin dengan pertolongan Allah. InsyaAllah, akan dapat juga pekerjaan itu selama engkau tidak berputus asa. Nah, carilah segera pekerjaan. Aku doakan semoga berhasil.
Setelah membacanya,orang tersebut termenung panjang.Kali ini,dia benar-benar insaf dan sedar akan kemalasannya.Keesokan harinya,dia pun keluar dari rumah untuk mencari pekerjaan.Sejak hari itu,sikapnya pun berubah mengikut ketentuan-ketentuan hidup”
Aku hanya mendengar sedari tadi.
“Awak tahu kenapa saya ceritakan ini kepada awak?”
Aku hanya menggeleng.
“Sebab saya nak awak tidak berputus asa.Memang benar hidup kita penuh dengan dugaan.Tetapi,apabila kita dapat menempuh segala rintangan ini,percayalah.Kemanisan itu lebih manis dari biasa”
“Maksud doktor?”
Doktor Sofia senyum lagi.”Saya tahu yang awak cuba membunuh diri tempoh hari.Itulah yang pihak hospital beritahu dan saya rasa tiada sebab lain mengapa orang boleh terdampar di tepi pantai bersebelahan tebing yang tinggi.”
Aku mengeluh panjang.Doktor tahu hal sebenar rupanya.
“Awak tahu…Dalam hidup ini,tiada apa yang indah.Setiap saat kita diuji.Ada orang mengambil ujian itu sebagai satu langkah kehadapan untuk mendapat keredhaan Ilahi dan ada yang menganggap ianya sebagai satu bala yang diberi oleh Ilahi.Semuanya bergantung kepada diri kita.Bagaimana kita ingin mengadaptasi sesuatu dugaan.Yang penting,usaha jangan lupa.Tawakal sahaja tidak guna juga.”
“Doktor pernah merasa dugaan ditimpa doktor terlalu berat sehingga merasa Tuhan bertindak tidak adil?”

“Percayalah.Saya pernah melaluinya.Ianya berlaku empat tahun lepas sewaktu saya kehilangan suami dan dua anak saya.Mereka bertiga terlibat dalam satu kemalangan.Waktu itu,hanya Tuhan yang tahu perasaannya.Saya ada juga berfikir untuk membunuh diri.Namun,setelah saya bertafakur.Saya merasakan ianya untuk apa?Apa yang bakal saya peroleh jikalau saya membunuh diri?Bukankah itu hanya memanjangkan lagi cerita?Hampir setahun saya cuba menyesuaikan diri dan cuba menerima hakikat.Kuncinya,dekatkan diri kepada Tuhan.Dahulu,saya selalu inginkan sesuatu dari Tuhan.Apabila tidak dapat apa yang diinginkan,saya akan merasakan Tuhan itu tidak adil.Namun,pernahkah kita berfikir bahawa adilkah jikalau Tuhan tidak memakbulkan doa kita yang hanya mencariNya disaat susah?Kita hanya mencari Tuhan disaat susah dan apabila senang,Tuhan dan sejadah kita abaikan.Oleh sebab itu,saya cuba dekatkan diri dengan Tuhan.Alhamdulillah kini saya dah boleh terima hakikat dan saya meneruskan bidang psychology pun adalah kerana ketentuanNya.Saya ingin membantu golongan yang pernah tersasar macam saya suatu ketika dahulu.Percayalah,setiap yang berlaku dalam hidup kita ada hikmahnya.”

Doktor Sofia pernah berkahwin dan ada anak?Aku seperti tidak percaya dengan apa yang telah doktor Sofia lalui selama ini.Aku fikirkan akulah orang yang sering ditimpa malang.Namun,ada lagi orang yang bernasib malang dariku.
Pintu dikuak perlahan.Kami berdua menoleh.
“Doktor,consultation hour dah habis”
Doktor Sofia menggariskan senyuman lalu menoleh semula ke arahku.
“Kita jumpa lagi In Sha Allah minggu hadapan.”Ujarnya sebelum beredar.
Aku mengetap bibirku perlahan.Sungguh berani doktor meluahkan apa yang terbuku di hati.Adakah aku juga berani meluahkan apa yang terbuku ini?
“Doktor…”
Doktor Sofia yang sudah berada di pintu menoleh.
“Saya rasa saya sudah bersedia untuk menceritakan mengapa saya melakukan apa yang saya lakukan tempoh hari…”


No comments:

Post a Comment